KUCHING: Penyertaan belia dalam Pertubuhan Kebangsaan Belia Bersatu Sarawak (SABERKAS) menunjukkan peningkatan setiap tahun, kata Setiausaha Agung SABERKAS Dr Abdul Rahman Junaidi.
Katanya, peningkatan itu adalah menerusi penambahan dalam penubuhan cawangan dan unit pertubuhan tersebut yang ditubuhkan di seluruh negeri ini.
Lebih menarik ujarnya, penyertaan generasi muda dalam SABERKAS juga menyaksikan bukan sahaja melibatkan penyertaan belia Bumiputera semata-mata bahkan belia bukan Bumiputera juga mengesahkan penyertaan keahlian mereka.
Sila like Facebook Buletin Pantai Damai di https://www.facebook.com/BPDonlinenews/
“Kita dapat saksikan rata-rata yang telah mendaftar sebagai ahli SABERKAS kini mewakili semua suku kaum yang ada di Sarawak. “Kita percaya bahawa bilangan yang menjadi ahli semakin meningkat menerusi penubuhan cawangan dan unit yang kita tubuhkan di seluruh negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pameran Fotografi ‘Streets of Kuching’ yang berlangsung di Kompeks Pelancongan Sarawak, China House, di sini semalam.
Dalam perkembangan berkaitan, Dr Abdul Rahman yang juga merupakan Menteri Muda Kemudahan Awam (Elektrik dan Telekomunikasi) berkata, setakat ini, sebanyak 60 cawangan SABERKAS seluruh Sarawak telah mengadakan Mesyuarat Agung Tritahunan untuk sesi 2017-2020.
“Kita berhasrat kalau boleh kesemua 80 cawangan telah mengadakan mesyuarat agung tersebut sebagai persediaan kita menghadapi Mesyuarat Agung Tahunan Negeri yang dijadual diadakan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
“Daripada cawangan yang telah mengadakan mesyuarat agung tritahunan, kita dapati, banyak cawangan yang telah menonjolkan kepimpinan baharu dalam kalangan belia-belia bawah 40 tahun.
“Ini adalah satu pembaharuan yang kita harapkan supaya lebih ramai belia generasi muda anak Sarawak mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatan melalui SABERKAS,” jelasnya.
Tambahnya, dengan sokongan padu daripada Presiden SABERKAS yang juga Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, beliau berharap masa depan SABERKAS menjadi payung serta naungan pergerakan belia di Sarawak akan terus maju pada masa akan datang.
Mengenai Pameran Fotografi ‘Streets of Kuching’, beliau mengambil kesempatan memuji penganjur iaitu SABERKAS Kota Sentosa dengan kerjasama PhotoBorneo dan MomentumKCH atas usaha menggilap bakat anak-anak seni Sarawak dalam bidang fotografi jalanan.
Pameran itu disertai tujuh jurugambar iaitu Madey Skomot, Jee Foong, Renee Bong, Russell Ting, Nizam Hakim, Robin Wong dan Lance Vun di mana ketujuh-tujuh peserta fotografi mempamerkan hasil kerja mereka yang berhubung kait dengan momen di jalanan di sekitar bandar raya ini.
Orang ramai boleh melihat pameran tersebut yang dibuka untuk kunjungan setiap hari Rabu hingga Ahad bermula jam 12 tengah hari hingga 5 petang sehingga 26 Mac ini.
Turut hadir pada majlis itu ialah pengerusi pengelola Lance Vun, Pengerusi SABERKAS Kota Sentosa Jamex Voon, Naib Pengerusi SABERKAS Kota Sentosa Aleks Chai dan Setiausaha SABERKAS Kota Sentosa Eugene Yap.-BPD
Kredit : Utusan Borneo

0 comments:
Post a Comment